Pengikut

Cari Makan Sikit

Thursday, November 22, 2012

Coklat Coklat Cinta #2

Okey, aku memang tidak betul. Aku kena masukkan diriku dalam Hospital Tanjung Rambutan, atau tak pun Hospital Tampoi. Macam mana aku boleh bersetuju dengan keputusan lelaki itu Alif Rifqi?

Ya, aku Hanis Nadiah baru sahaja menerima pinangan Rifqi. Tadi sewaktu ibu bapanya tiba ke rumah dan kemudian meminang bunga di taman iaitu aku, bersahaja sungguh aku bersetuju untuk menerima lelaki itu saat abah dan umi menyoal.

Dan yang lagi haru perkahwinan kami akan diadakan dua minggu lagi, serentak dengan ulang tahun Rifqi yang ke tiga puluh. Apa aku buat ni?? Aku cuma nak belajar macam mana nak buat coklat paling sedap kenapa pula boleh sampai ke tahap kahwin ni?

Umi, tolong Hanis, umi!!!

"Hanis, kenapa tak dijawab telefon tu?" Tiba-tiba suara umi hinggap di telinga.

Pantas aku menoleh ke arah umi yang tercegat di hadapan muka pintu. Umi dengar aku panggil dia ke tadi? Wah, hebatlah umi boleh dengar panggilan hati aku.

"Ya Allah, budak ni kenapa duk terkebil-kebil lagi tu? Takkan tak dengar bunyi telefon kamu tu?" tempelak umi tiba-tiba. Tersentak aku dibuatnya.

Segera aku mengalihkan pandangan ke arah telefon bimbit yang elok terletak di atas meja solek. Yang sedang riang mengalunkan ringtone 'All the love in the world' nyanyian The Corrs. Aku tersengih pada umi sebelum cepat-cepat mengambil telefon itu.

Melalui hujung mata, dapat kulihat umi yang menggelengkan kepala sebelum berlalu pergi. Pasti dia merasakan anak daranya yang seorang ini sudah terserlah tahap tidak betulnya.

"Helo," ujarku pada si pemanggil. Tidak bersemangat langsung.

"Helo, sayang "

Oh, mak! Siapa pula yang bersayang-sayang dengan aku ni?

"Siapa sayang awak?" marahku. Geram!

Jelas kedengaran bunyi ketawa lelaki di sebelah sana. Apa mamat ni gelak-gelak pula? Dia pun sama macam aku? Sudah tidak betul? Putus urat kat otak? Gila?

"Sayang ni takkanlah dah lupa saya kut. Tadi baru je jumpa parents saya," jawab lelaki itu di sebalik sisa tawanya.

Aku mengerutkan dahi. Jumpa parents dia? Aku cuma jumpa Ya Allah! Rifqi! Dia ni Rifqi.

"Err..Rifqi " balasku perlahan. Tangan kiriku sudah mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

"Haaa, tahu pun! Kenal pun bakal suami sendiri, kan?" sergah Rifqi dalam nada bergurau.

Spontan aku memuncungkan bibir. Dia ni pun agak-agaklah, takkanlah aku tak kenal bakal suami sendiri kut. Walaupun bakal suami itu bukanlah lelaki yang sangat kukenali, apatah lagi kucintai. Hmmm mampu ke aku jatuh cinta dengan dia ni nanti?

Pantas aku mengetuk kepala. Apa yang aku fikir ni? Cinta? Rifqi sendiri pun tidak pernah bercakap pasal cinta, kenapa pula aku yang fikir lebih-lebih?

"Hanis " panggilnya tiba-tiba. Lembut.

"Hmm.." jawabku, sekadar berbasi-basi.

"Thanks, tau."

Dahiku membentuk kerutan lagi. "Untuk apa?"

Terdengar di hujung telingaku helaan nafas Rifqi. Lelaki ini kenapa? Seperti tiba-tiba sahaja serius dan bermasalah? Isy, risau aku!

"Sebab sudi terima pinangan parents saya tadi."

Aku tergelak kecil. Rifqi Rifqi, sudah saya janji dengan awak, apa yang dirisaukan lagi? Ya, memang apa yang jadi antara kami sangatlah pelik bin ajaib dan aku sendiri pun sudah merasakan yang aku ini gila, tetapi aku bukan jenis manusia yang akan memungkiri janji sesuka hati saja.

"Kenapa awak gelak? Saya serius ni," ucap Rifqi, sedikit menempelak. Nampak sangat tidak berpuas hati denganku. Isy, bakal suamiku ini kuat merajuk juga rupa-rupanya.

"Awak ni kan saya dah janji dengan awak yang saya akan setuju? Kenapa? Awak ingat saya ubah fikiran, ke?" balasku bersahaja.

"Well awak kan setuju nak kahwin dengan saya sebab kelas coklat tu? Manalah saya tahu, kalau-kalau awak jumpa chocolaterie lain yang boleh ajar awak."

Aku terdiam. Entah kenapa, nada suara Rifqi kedengaran jauh sekali. Seakan menyimpan suatu rasa dalam suara itu. Perlahan aku menghela nafas. Otakku ligat memikirkan jawapan yang sepatutnya aku berikan. Jawapan yang boleh menyenangkan hatinya.

Okey, kenapa aku boleh fikir pasal hati dia pula ni? Tadi cinta sekarang hati? Apa dah jadi pada aku ni???

"Hanis, awak dengar tak ni?"

Tersentak aku mendengarkan suaranya yang sedikit kuat. Isy, tak reti-reti nak sabar ke cik abang oi? Saya tengah fikir macam mana nak senangkan hati awak ni.

"Rifqi, pasal kelas tu memang betul. Saya setuju sebab saya nak belajar buat coklat daripada awak. Tapi "

Kata-kataku terhenti. Tapi apa, ya? Kenapa aku boleh selamba saja bersetuju dengan kerja gila ni?

"Tapi apa, Hanis?"

"Tapi err, tapi maybe betul kut saya ni untuk awak!"

Fuh, terjawab juga akhirnya. Tapi apa aku jawab tadi? Saya untuk awak? I'm meant for you? Oh, my...malu kot!!!

Rifqi tertawa. Riang sekali. Sukalah tu sebab aku dah terlepas cakap macam tu.

"Awak tahu, Hanis bila kita dah kahwin nanti, saya akan ajar awak buat sejenis coklat paling special." Rifqi bersuara setelah tawanya mati.

"Coklat apa?" soalku penuh dengan perasaan teruja. Oh, akulah peminat fanatik coklat nombor satu di dunia ni!

"Coklat cinta," bisik Rifqi perlahan dan penuh kelembutan sebelum dia tiba-tiba sahaja mematikan telefon.

Mataku membuntang. Tubuhku pula seperti kaku. Rifqi cakap apa tadi. Coklat cinta?




copied from Mukabuku.

No comments: