Pengikut

Cari Makan Sikit

Wednesday, December 8, 2010

Kisah #29 - Maaf

hari ini hari hujan.

tapi oleh sebab terasa diri overdose rajin dengan membuat Larutan Kedua yang baru petang tadi, makanya saya terlupa hujan yang turun akan menyebabkan tempias lantas membolehkan baju saya di jemuran basah.

saya hanya teringat tentang baju saya itu apabila mendapat sms dari Si Ketua Rumah yang disedari oleh Si Pembantu 1 ketika berada di luar makmal dengan menyangkakan ianya adalah panggilan masuk lalu berlari-lari anak menyerahkan telefon kepada saya.

saya ketika itu memang sedang merajinkan diri untuk kesekian kalinya sehingga disapa oleh Cik Anne yang tidak sengaja memasuki lab lantas mengeluarkan soalan hairannya yang berbunyi lebih kurang begini - aik, masuk lab lagi ke?

dengan erti kata lainnya, soalan itu juga memberi maksud kedua iaitu saya sudah tidak sepatutnya masuk ke lab dan menjalankan eksperimen tetapi saya sebenarnya harus berada di hadapan komputer sahaja sambil menaip-naip, bukan untuk dipost dalam blog tapi untuk disiapkan menjadi disertasi.

alhamdulillah saya tidak stress untuk hari ini.

selepas eksperimen saya dijangka sudah siap, saya bersegera untuk pulang ke rumah kerana teringat akan baju saya di jemuran yang dibasuh di pertengahan minggu disebabkan perancangan awal saya yang hendak bekerja pada hujung minggu ini, malangnya saya terpaksa tangguhkan sesi Mari Mencari Rezeki tersebut kerana masa telah ditunda buat kali keempat menyebabkan saya berfikir bahawasanya kerja kali ini mungkin bukan jodoh saya.

dalam perjalanan balik, saya terlupa bahawa laluan ke rumah saya itu berkemungkinan besar akan dinaiki air walaupun hujan yang turun tidaklah masuk 3 jam, makanya saya bertukar jadi saspen dan kaget dengan minda yang berfikir 'adakah Encik Johnny akan melepasi banjir kilat ini' sekaligus menyebabkan saya TERtekan pedal minyak secara tidak langsung menyebabkan air itu terpercik dengan sangat kuat sehingga 2 orang pejalan kaki terpaksa berdiri tegak seperti ingin menyanyi lagu kebangsaan.

tiba-tiba saya terasa bersalah. amat.

sebab saya pernah juga berada di tempat pejalan kaki tersebut dan keadaan yang sama pernah terjadi kepada saya dan saya terus menarik muka empat belas sambil saya berjanji di dalam hati - 'kalau aku ada kereta, aku tak akan buat macam tu'.

tapi hari ini, saya benar-benar tidak sengaja, mungkin saya kaget kerana risau dengan Encik Johnny dan rasa bersalah saya itu saya bawa sampai ke rumah, sambil mengangkat jemuran saya berfikir betapa bersalahnya saya kerana telah membuat perkara sedemikian rupa dan saya takut andaikata pejalan kaki itu mempunyai mulut yang tidak berinsurans lantas mendoakan yang bukan-bukan kepada saya.

saya minta maaf ya, pak?

No comments: