Pengikut

Cari Makan Sikit

Tuesday, April 27, 2010

Nukilan Si Ayah Mangsa

ini pulak adalah nukilan peribadi Si Ayah kepada Yani Yuhana - mangsa sihir lelaki warga Pakistan.




Wahai bangsaku dan anak watan negaraku, disini saya ingin dan tersangat mengharapkan bantuan dan keprihatinan dari hati semua yang membaca untuk bersama-sama saya dan keluarga dalam mempertahankan dan memperjuangkan musibah malang ujianNya yang telah menimpa.Saya menulis sesuatu yang bukan lagi rahsia ini, lantaran sikap biadap dan keterlaluan warga asing yang apabila menyebut nama bangsa ku sering dengan nada sinis iaitu orang me…LAYU. 

Bangsaku seolah terpinggir di bumi sendiri sebagai lebai Malang yang “Menang sorak kampung tergadai” dan ibarat “Itik di air mati kehausan, ayam dikepuk mati kelaparan” .

Keperkasaan warga asing dibumi kita ini jelas ketara berkuasa dan terus gah mendabik dada.Mereka tidak gentar untuk melakukan kemungkaran dan maksiat kerana pada mereka bumi kita ini hanya tempat mencari apa yang sempat dan negara asal mereka adalah kubu berlindung yang selamat untuk lari menyelamatkan identiti agar tidak mudah dicari dan dijejaki.Warga asing ini secara terang-terangan berani mencabar kedaulatan ketuanan anak watan.

Mereka tidak gentar dengan hukum-hakam apatah lagi soal halal&haram, mereka tidak tergugat akan akta keselamatan dalam negara kerana mereka ada tempat, ruang dan negara sendiri untuk melarikan diri.Mereka merasa selamat dan dilindungi dek kerana keistimewaan layanan sebagai ‘tetamu’ yang kononnya mereka menyumbang tenaga dan idea menolong membangunkan negara kita.Namun saudaraku sekalian, bagiku, mereka warga asing ini boleh di kategorikan sebagai ‘berak dalam pinggan’ bilamana membuat onar dan masaalah. 

Wahai warga asing, datangmu bukan sebagai ‘pelabur’ tetapi ‘pelebur .Bukan sebagai ‘pelajar’ yang datang mencari ilmu tetapi petualang biadab yang kurang ajar.Bukan sebagai peniaga yang amanah tetapi sebagai perampas yang rakus menindas. 

Amatlah sedih dan pilu mengenangkannya, saya berdepan dengan kenyataan dan realiti perlakuan warga asing yang telah menganiayai saya sekeluarga.Saudaraku semua, di dunia tanpa sempadan ini, izinkan saya mendedahkan musibah yang dipikulkan oleh Allah SWT kepada saya. Diluar sana, mungkin ada yang lebih terseksa dari saya sekeluarga, sepertinya musibah yang menimpa adik Shalini dan adik Nurin Jazlin, yang mana hati kecil saya berkata, seandai pelaku itu anak watan , amat mustahil mereka gagal dikesan.Ataukah mereka lah warga asing yang hanya bertandang seketika?


Apakah bayi tidak berdosa yang dipersia dilonggokan sampah sarap itu mungkin dari angkara jejaka asing yang memusnahkan harapan wanita tempatan laksana ‘habis manis sepah dibuang’. Masih diluar sana, mungkin ada yang senasib dengan saya dan pertolongan semua amatlah diharapkan untuk suatu lonjakan bukti ketuanan kita. Walaubagaimana pun, saya yakin bahawa Allah SWT Mahakuasa lagi Mahabijaksana tidak akan menzalimi hambaNya.Apabila sedar datangnya dugaan ini, langkah pertama ialah memohon pertolongan Allah SWT agar setiap tindakan saya mendapat keredhaanNya.

Dengan kerendahan diri terhadap Pencipta, saya memohon doa restu bersolat hajat berjemaah di masjid selepas Solat Jumaat di dua buah masjid dua minggu berturut-turut. Selaku hambaNya, saya mengadu kepada Dia terlebih dahulu untuk memudahkan urusan dengan hamba-hambaNya yang lain di dunia ini. Pada saya, setiap apa yang di takdirkan Allah SWT, tiada yang silap dan berlaku atas kudrat dan iradatNya.Hanya Dia yang Maha Mengetahui akan sebab dan kerana sesuatu hal kejadian itu. Demi prinsip dan pegangan inilah, saya dedahkan dipersada alam maya ini berserta harapan menggunung akan bantuan dari semua saudara seagamaku, sebangsaku, dan senegaraku.

Saya dikurniakan lapan orang anak penyambung zuriat.Mereka adalah anugerah paling berharga untuk saya .Saya membentuk mereka agar sentiasa tidak putus hubungan dengan Allah swt dan Rasul saw.Alhamdullillah.Pada tahun 2006,anak sulung saya salah seorang yang telah dipilih Allah swt untuk menitiskan keringat di tanah Mina,Mekah sebagai jurutera yang membina semula Kompleks Jamrah tempat melontar di musim haji.Anak kedua saya (lelaki) seorang pendidik.Anak ketiga saya (perempuan) seorang doktor.


Anak keempat saya (perempuan) telah menyambung peringkat ijazah ke luar negara dengan kecemerlangan sebagai ‘dean list student’ peringkat diplomanya(Dia inilah yang telah menjadi mangsa warga asing). Anak kelima saya (perempuan),kini bekerja di Jabatan Kerajaan.Anak keenam saya (perempuan),masih dalam pengajian di bidang Farmasi.Anak ketujuh saya (lelaki), kini baru berusia 16 tahun,adalah diantara pelajar terbaik dari Sekolah Agama Terbaik Malaysia PMR 2009.Anak saya adalah salah seorang dari 81% pelajar yang mendapat 9A di sekolah beliau. Lebih membanggakan ialah lebih dari 64% pelajar 9A ini ialah mereka yang HAFAZ 30 JUZUK AL-QURAN.Alhamdulillah, anak ketujuh saya mampu menurut jejak arwah datuknya.Anak kelapan saya (lelaki) masih kecil dan baru di darjah satu. 

.Saya mengizinkan anak-anak perempuan saya melibatkan diri membuat kerja sambilan seperti menjadi juru jual dan pekerja kedai makan bagi membantu kewangan keluarga.Pada ketika inilah keluarga saya mula kenal seorang warga Pakistan bernama Kamran yang menjalankan perniagaan tudung dan textile.Saya tidak mencuriagai apa-apa kerana berpegang kepada prinsip persaudaraan sesama Islam.


Meski pun jarak dari rumah saya dengan Mydin Mall tidak berapa jauh, saya tetap menghantar dan mengambil mereka setiap hari demi tanggung jawab seorang ayah.Anak keempat saya yang telah menjadi mangsa Kamran pernah menolong dan menjaga kedai tudungnya di Mydin Mall, K.Trg ketika cuti semester dan selepas tamat pengajian peringkat diploma (sementara menanti tawaran belajar seterusnya).Anak saya ini kemudiannya mendapat tawaran peringkat ijazah di sebuah IPTA terkemuka tetapi dalam jurusan lain, oleh itu beliau berusaha untuk tukar jurusan dengan proses ‘tranfer credit’ tetapi tidak berjaya .

Wahai saudaraku,di sinilah mulanya Kamran memainkan taktik kotor dan keji yang kononnya mahu membantu anak saya membuat niaga sambilan di IPTA tersebut. Kamran mengambil peluang untuk sering berjumpa dengan anak saya dengan alasan membekalkan tudung untuk di jual.Dan tidak ketinggalan membawa makanan kononnya mengikut budaya ketimuran dengan sentiasa membawa buah tangan.


Setelah apa yang terjadi kini, saya yakin anak saya telah diperdaya dan di’ilmuhitam’kan si warga asing.Anak keempat saya ini lahir pada tahun 1986, telah terbukti sebagai salah seorang pelajar pintar di sepanjang alam persekolahan sehinggalah menjejakkan kaki ke kolej dan IPTA.Semasa di IPTA tersebut, pihak kolej telah mendapat kerjasama dari Universiti luar negara yang bersetuju mengiktiraf diploma sedia ada dan menerima anak saya untuk terus belajar di tahun akhir peringkat ijazah dengan kemudahan ‘tranfer credit’.Sebagai bapa, peluang belajar ini perlu saya berikan kepada anak saya . 
 

Dalam masa yang sama, alhamdulillah, anak sulung telah dipertemukan dengan jodoh dan melangsungkan perkahwinan pada tahun 2008, walaupun dalam keadaan masih gagal mendapat sebarang bantuan kewangan kerana nama telah disenaraihitamkan oleh bank XXXX. Atas dasar hubungan perniagaan yang ada, saya telah meminjam dari Kamran sebanyak RM2,500.00 untuk menampung kos kenduri itu.Kamran ini ada bersama dimajlis kenduri anak sulung saya dan apabila dia tergamak memalukan saya sekaligus menghina,manusia jenis apakah begini?

Tidak cukup dengan kepura-puraan itu.Kamran juga mengatakan dia boleh dapatkan biasiswa MARA untuk anak saya belajar di luar negara.Kamran seterusnya telah memperkenalkan kami dengan ‘abang angkat’nya dikenalkan sebagai bekas polis berpangkat tinggi.Adalah wajar untuk kita ‘orang awam’mempercayai polis . 
 
Sebagai bapa, saya tetap berusaha mendapatkan biaya untuk anak saya belajar.Anak sulung saya amat sedih dan kecewa kerana tidak berupaya membantu adiknya lantaran namanya masih disenaraihitamkan . Apabila anak ketiga saya menerima gaji pertamanya, (baru bekerja) slip gaji itu telah digunakan dan alhamdulillah telah berjaya mendapat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000.00. Dengan pinjaman ini, anak keempat saya telah berhenti dari IPTA tersebut dan sambung belajar ke luar negara.


Namun saudaraku, saya masih terus berusaha agar pembiayaan belajar anak saya terlepas dari unsur riba.Saya telah berurusan dengan Yayasan Terengganu. Alhamdulillah, perjumpaan berjaya diaturkan antara saya dan anak dengan YAB Menteri Besar Terengganu. Datuk Ahmad Said, Saya terkejut bila YAB MB berkata, “Anak awak ini dean list student, kalau saya tak bantu dia nak belajar, tak layak saya jadi Menteri Besar.”Inilah ungkapan yang saya anggap lahir dari insan yang benar-benar menggunakan ‘masa’ yang di berikan Allah SWT kepadanya sebagai pemimpin ketika berkuasa.

Dengan sokongan YAB Menteri Besar, anak saya telah mendapat tajaan dari Yayasan Terengganu.Berita baik ini saya sampaikan kepada anak saya tetapi saya mulai perasan akan wujudnya kelainan cara beliau menyambut berita gembira ini.Saudaraku, mungkin ini yang dikatakan naluri hati seorang bapa.

Setelah menghabiskan kertas akhir peperiksaan, anak saya balik ke Malaysia dan tinggal bersama saya dan keluarga dengan sikap yang berbeza.


Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, anak saya terpaksa membuat ‘re-submit paper’.Dia kemudiannya, dengan sikap memberontak, meminta izin untuk ke Kuala Lumpur (KL) agar mudah berurusan mendapatkan sumber rujukan dan bantuan rakan-rakan bagi tujuan re-submit.Apabila balik semula ke Trg berlaku perubahan yang lebih nyata dan mendadak.Kali ini perwatakan anak saya amat berbeza dengan perangai dan perilaku beliau yang lemah lembut dan penyayang.

Sikap kasar beliau semakin menjadi-jadi.Beliau langsung tidak menghormati kami ibu bapa dan keluarga beliau sendiri.Anak saya ini sentiasa dengan sikap marah, tidak puas hati, berontak dan keluh kesah berpanjangan.

Akhirnya,beliau hendak ke KL konon untuk mencari ketenangan dan mengatakan ingin berjumpa abang sulungnya.Pemergian beliau ke KL kali ini menimbulkan syak yang amat mendalam kerana beliau langsung tidak menghubungi kami lebih dari seminggu.Saya dan keluarga bersusah payah mencari dan menghubungi sesiapa sahaja untuk menemui kembali anak saya.Perasaan bimbang, keliru dan kecewa, segalanya bercampur di ketika itu.Hanyalah berserah pada ketentuanNya namun kami tetap berusaha dan tawakkal.

Saudaraku, saya kemudiannya menyuruh adiknya(anak kelima) ke KL untuk menjejaki beliau.Alhamdulillah,si adik berjaya menemui kakaknya yang bersama dengan Kamran.Namun, kakaknya sudah seperti lembu ditarik hidung.Beliau hanya mematuhi Kamran sehingga tergamak menghantar adiknya itu ke sebuah hotel murahan sarang pelacur di KL.Saudaraku sekalian, bayangkan perasaan saya sekeluarga ketika itu.Kami sekeluarga terpana dan seribu macam perasaan lainnya.


Namun,alhamdulillah Allah masih sayangkan kami.Dengan meminta bantuan polis,seramai 20 anggota polis membantu kami dan berjaya mengeluarkan adiknya dari situ. 

Kesyukuran dengan limpahan air mata saya dan keluarga panjatkan.Seterusnya,hasil dari bantuan polis juga pada malam yang sama, kami dapat mengesan dimana anak saya yang menjadi mangsa Kamran berada.Atas hasutan Kamran, beliau telah membuat laporan membantah terhadap kami. Dalam kesyukuran atas keselamatan si adik, kini keselamatan si kakak perlu diutamakan kembali.

Kami bergegas ke Balai Polis yang dimaksudkan,dan Kamran menghilangkan diri sebaik sahaja melihat ibu dan abang sulung beliau masuk ke balai. Keadaan beliau pada ketika ditemui nyata tidak terurus.Hati ibu terus sayu apabila melihat keadaaan si anak yang di kandungnya 9 bulan 10 hari, yang dibesarkan dengan harapan tinggi, yang didoakan mendapat kesejahteraan menjadi lemah tidak bermaya hinggakan menitis banjir air mata seorang ibu. 

Saudaraku, saat pertemuan itu amatlah sukar untuk diolah dan ditafsirkan.Hati ibu yang mengetahuinya.Hati abang yang selama ini menjaga adik-adiknya yang merasa kesannya,dan pastinya hati-hati semua saudaraku yang seagama denganku, sebangsa denganku dan senegara dapat merasakannya.Diketika itu, matlamat kami hanya inginkan kembali anak kami.Tiada yang lain.Pegawai-pegawai polis bertugas dibalai ketika itu turut memaklumkan bahawa anak saya hanyalah menurut setiap patah perkataan dan arahan dari Kamran tanpa membantah. 

Ketahuilah saudaraku, Kamran pula secara berani dan berdepan telah mencabar dan mengugut pihak polis mempercepatkan menerima repot anak saya dengan ugutan dia (Kamran) mengenali ‘orang dalam’ yang mana berkuasa menghentikan mereka (polis-polis dibalai ketika itu) dalam masa 24jam. 

Kamran telah menghubungi ‘orang dalam’ yang dia maksudkan dan seketika kemudiannya, anggota bertugas malam itu telah menerima arahan melalui telepon agar menerima repot anak saya seadanya. Dengan apa yang terjadi di dalam balai ini, sememangnya terbukti Kamran faham tentang undang-undang dan selok belok akta Polis Malaysia sepertimana kata-kata yang pernah di ungkapkannya bahawa ‘Dengan orang meLAYU, banyak perkara boleh di lakukan asalkan pandai dan berani’.Saudaraku, ini adalah ungkapan yang sungguh biadap dan menghina bangsa kita.

Wahai saudaraku, sekembalinya kami ke Trg, saya dikehendaki membawa anak saya ke balai untuk siasatan lanjutan.Kami patuh pada arahan pihak polis.Atas keprihatinan mereka (polis-polis dibalai K.Trg), kami disarankan mengubati anak saya terlebih dahulu berikutan keadaan beliau yang lemah, tidak bermaya dan tidak normal.Alhamdulillah, saya sebagai seorang ‘guru silat’ juga faham serba sedikit akan langkah pemulihan dan perubatan yang perlu dilakukan. 


Dalam pada masa yang sama, bantuan pihak lain tetap sangat saya harapkan dan usaha diteruskan dengan ikhtiar pemulihan dari salah seorang pakar perubatan tradisional yang tersohor di Trg .Beribu kesyukuran saya dan keluarga panjatkan atas bantuan pemulihan dari beliau. 

Saudaraku sekalian,pada 25.11.2009, saya telah menghubungi Kamran melalui pekerjanya kerana meminta dia memulangkan kembali kesemua barangan peribadi anak saya sepertimana repot yang dinyatakan.Seperti kita sedia maklum, apabila barangan milik kita berada di tangan orang lain,maka dengan mudahnya pihak itu boleh menggunakannya untuk tujuan jahat, penganiayaan serta ilmu hitam seperti sihir untuk melemahkan dan memperdayakan seseorang.Disini,saya amat yakin, bahawa inilah yang terjadi pada anak saya.Dianiaya oleh warga asing.


Berikutan itu, pada pertama kalinya berhadapan di dalam kamar mahkamah,(19.01.2010)saya dan anak telah menuntut kembali barangan itu, namun tidak di endahkan.Saya buntu kepada siapa lagi untuk mengadu masalah ini.Saya berusaha bertungkus lumus mengharapkan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa yang mana saya dan anak telah mengadu dan merayu untuk perhatian hingga ke Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan PenguatKuasa Jabatan Emigresen di Putrajaya,namun amatlah hampa dan kecewa apabila di maklumkan mereka tidak ada kuasa untuk bertindak kerana terbatas pada akta-akta yang sedia ada. Saudaraku,pembelaan dan perlindungan yang kami harapkan, tetapi kesedihan yang kami dapat.

Ketahuilah saudaraku, Kamran telah dengan berani mencabar maruah seluruh keluarga saya dengan menggunakan cara jijik dan mungkar dengan ‘menghalalkan segala cara untuk matlamat diri’.Sebelum ini, Kamran menggunakan alasan mazhab bagi membenarkan tindakan biadap dia, kini dia berpaut pada undang-undang negara kita Malaysia untuk mengesahkan dan menukar tindakan keji dia menjadi benar. 


Persoalannya “Sikap biadap mereka mungkin di sebabkan oleh pandangan hina bahawa bangsa kita yang meLAYU.Benarkah begitu?Tentu sekali TIDAK wahai saudaraku semua!!!”Untuk perhatian semua wahai saudara seagamaku, sebangsaku dan anak watan negaraku, kami akan bersemuka lagi di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 APRIL 2010, jam 9.00 pagi. 

Saya memaparkan kisah yang mengaibkan saya dan keturunan saya ini demi menyahut “Amal Makruf Nahi Mungkar”, agar saya bertindak mengikut ketetapan yang diajarkan Nabi saw untuk mencegah mungkar itu bermula dengan tenaga, kemudian lisan dan terakhirnya hati. 

Saya mendoakan agar hati kita terbuka dan ‘hidup’ sebagai generasi yang mempertahankan Natrah, peristiwa berdarah di bumi Temasik, kini di kenali sebagai Singapore tidak dipersendakan oleh sistem perundangan ciptaan manusia.

Saya memohon hidayat Allah swt agar tindakan saya mempertahankan maruah keluarga saya,mazhab ikutan saya dan undang-undang Negara saya berada dilandasan ‘ihdinassiratalmustaqim” semoga dengan itu saya mampu berdiri di mahkamah Allah swt di akhirat nanti, InsyaAllah.

Justeru itu, saya sekeluarga di sini sejujurnya dengan seikhlas hati memohon merayu dan mengharapkan sokongan, bantuan, dan iringan doa dari semua pihak agar kita tidak seperti anggapan mereka, seterusnya semoga kita semua akan dikurniakan hidayah penyatuan hati dari Yang Esa untuk memartabatkan ISLAM di Negara kita, dan keTUANan Bangsa kita.Dengan berjuta pengharapan dimohon semua yang ada supaya bersertalah bersama saya dan keluarga menuntut keadilan.


Ya Allah,, 
Hati ini telah bersatu, 
Berkumpul di perut bumiMu,
Hati ini telah berpadu, 
Bersatu memikul beban dakwahMu
Hati ini telah mengikat setia,

Untuk mendaulat,
Untuk mendokong SyariatMu di alam maya,
Maka Ya Allah,
Eratkanlah ikatan yang ada,
Kekalkanlah kemesraan yang ada,
Tunjukkanlah jalan yang benar,
Penuhkanlah dengan cahayaMu,
Tiada malap terangi alamMu,
Hidup suburkanlah dengan makrifatMu,
Tapi jika ingin mematikannya,
Matikanlah sebagai Syuhada’
Dalam perjuangan menegakkanAgama yang mulia,
Ya Allah,
Engkau lah sebaik-baik sandaran,
dan sebaik-baik penolong ya Allah,
Perkenankanlah permintaan ini,
Amin ya rabbal A'alamin.
 

(Doa Rabitah_Al-Mathurat)

No comments: