Pengikut

Cari Makan Sikit

Sunday, February 8, 2009

Kelab Jiwa Luka

semalam aku merayau-rayau tanpa hala tuju dan keseorangan di dalam suasana penuh kegelapan. sedikit cahaya pun tidak dapat menembusi dinding-dinding malap tersebut walau sebesar zarah sekalipun, seolah-olah tidak ada lubang-lubang walau sedikit untuk cahaya melobos masuk dan menyinari perjalanan ku.

namun, aku teruskan juga perjalanan ke hadapan dengan penuh impian palsu. aku semat dalam hati dengan kata-kata semangat yang tinggi. akan ku tempuh juga lorong-lorong gelap ini walaupun berliku. akan ku pertahankan segala hak milikku walaupun payah kerana aku betul-betul serius pada kali ini.

aku cuba untuk meminta bantuan dari Si Baru, malangnya tidak mendapat balasan. ah, aku dipulaukan lagi buat kesekian kali nya. tapi apa yang paling merobek jiwa adalah ia dilancarkan oleh insan yang diharap-harapkan untuk menjadi penyelamat.

semasa dalam perjalanan, aku disergah oleh seorang kawan, lebih kepada seorang kenalan mungkin, kerana aku sudah jatuh benci pada kenalan ini. kita namakan sahaja dia sebagai Si Hitam.

Si Hitam kemudiannya mula membaling batu-batu kecil ke arah aku. aku cuba mengelak dan cuba juga mengambil langkah untuk berdamai setelah aku lihat Si Hitam masih lagi mahu menyalahkan aku di atas perpecahan yang berlaku di antara kawan-kawan nya. Si Hitam juga sempat memalukan aku di khalayak ramai seolah-olah aku ini tidak berpendirian, seolah-olah aku ini seorang yang punya masalah moral yang berkadar tinggi.

apa ini? jiwa aku semakin terluka. goresan-goresan luka yang ditinggalkan oleh Si Baru masih merah ditambah pula dengan kelakuan Si Hitam yang mengazabkan lagi penderitaan aku. Si Palsu yang wujud di tempat kejadian juga hanya bertindak mendiamkan diri, tidak sedikit pun mencuba untuk menjernihkan suasana, menambahkan lagi jumlah luka di kalbu ku.

ah, pergi lah kalian, kenalan yang tidak mengenal erti sahabat.

lantas, aku bertindak mengambil lorong lain yang ku kira akan mengurangkan kebarangkalian untuk aku bertembung lagi dengan Si Hitam yang sangat biadab dan juga Si Palsu penakut yang sedari tadi menjadi saksi aku dimalukan tanpa mengambil sebarang inisiatif sedangkan Si Palsu sendiri tahu bahawa dia juga terlibat sama dalam situasi ini.

aku benci kalian. terima kasih untuk segala nya.

kemudian, aku menyusuri lorong yang agak tenang di mana aku bertembung pula dengan seorang kawan, Si Ungu yang telah bersusah payah cuba untuk mendapatkan maklumat mengenai aku dan Si Baru. melalui Si Ungu, aku mengetahui satu rahsia yang sangat menggembirakan ulu hati ku setelah beberapa cerita tidak menarik tentang aku digembar-gemburkan oleh para kenalan yang busuk hati nya. selepas itu, aku mula nampak ada sinar-sinar cahaya di hujung lorong sana.

aku senyum sendirian. terima kasih Tuhan, aku bisikkan di dalam hati.

aku semakin tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira dan sedih ini kepada Si Baru. semoga dia mengetahui bahawa aku sangat menyenangi kehadiran nya dalam lembaran pengembaraan ku. aku mahu dia tahu kira nya kewujudannya telah menambahkan warna-warna dalam lukisan hidup ku.

tapi, malang tidak berbau.

aku kira, Si Baru masih memerlukan waktu, jadi aku biarkan dia untuk mengisi ruang itu seorang diri dan berdoa semoga Si Baru dapat menghidu keikhlasan dan ketulusan yang cuba disemai dalam ikatan ini. semoga Si Baru juga akan menjumpai pintu sama yang akan aku temui nanti walaupun dari arah yang berbeza tetapi destinasi kami tetap sama. amin.

aku pula mengambil peluang itu untuk merehatkan badan dan minda setelah seharian suntuk berlegar di dalam lorong yang tidak berpenghujung ini. aku melelapkan mata bersandarkan impian cahaya di hujung lorong sana tetapi masih kabur kerana hati yang tidak tenang memikirkan Si Baru.

tidak berapa lama kemudian, aku membuka mata dan berazam akan tempuhi lorong kedua ini dengan penuh harapan yang berbunga-bunga, dengan harapan akan berjumpa Si Baru yang tersenyum riang di balik pintu sana. dengan impian itu, aku teruskan juga langkah yang semakin longlai walaupun Si Baru ternyata masih tidak mengirimkan khabar berita kepada aku.

aku mula risau, bimbang dan serta merta aku menjadi lemah. fikiran semakin bercelaru dan mata aku berpinar-pinar. aku menggosok-gosok mata dan melihat cahaya di hujung lorong sudah makin kelam, makin malap.

bermimpikah aku? petanda apakah ini?

ah, jangan dilepaskan peluang yang ada. aku terus mengumpulkan sisa-sisa tenaga yang masih wujud dan berlari-lari mengejar cahaya di hujung lorong. mungkin cahaya itu yang aku cari-cari selama ini. ya, mungkin Si Baru sedang menunggu aku di hujung sana, siapa tahu?

Si Baru kemudiannya menghubungi aku, menyatakan rasa terkilannya pada diriku dan serentak dengan itu aku menoleh ke hujung lorong dan ku lihat cahaya harapan itu semakin malap. malap seperti hati aku yang rabak mendengarkan kata putus dari Si Baru. kemudian cahaya harapan itu makin lama menjadi makin kecil seolah-olah sekalian alam telah gelap gelita seperti hati ku yang kelam dan seterusnya cahaya harapan itu hilang. hilang bagai debu yang berterbangan.

aku dengan penuh paksa meneruskan juga langkah walaupun tidak bermaya sambil menenangkan diri sendiri. aku berkeras ingin meneruskan perjalanan walupun hati kecil telah berbisik mengatakan di hujung jalan tidak punya apa-apa.

ah, pedulikan bisikan halus itu.

aku berusaha juga sedaya upaya untuk sampai ke hujung lorong, masih lagi dengan impian yang sama, berjumpa Si Baru dan akhirnya aku berjaya tiba di penghujung lorong walaupun dengan rentak perjalanan yang sangat perlahan kerana hati rabak ini masih tidak bersedia untuk menerima sebarang kejutan di seberang sana.

dan di situ, aku lihat ada satu pintu terbuka. aku melangkah masuk penuh debaran dan harapan yang semakin menipis dan seseorang datang mendekati aku sambil tersenyum seolah-olah memahami tingkah hati ku yang tidak tenteram di saat itu seraya berkata "Welcome to Kelab Jiwa Luka, again".

aku tersenyum paksa dan mengganguk lemah. terjelepuk aku di situ mengenangkan hati yang rabak. benarlah seperti apa yang dibisikkan oleh hati sebentar tadi. lalu pintu itu perlahan-lahan tertutup dan kemudiannya menjadi tembok penghalang kekal antara aku dengan Si Baru. selamat tinggal dunia impian.

dan hati masih lagi berbisik halus. maaf, kerana tidak adil dalam membuat penilaian. maaf, kerana tidak cukup sempurna dalam kelakuan. maaf, kerana tidak memahami segala tindakan. maaf, kerana aku insan penuh kekurangan.

sabarlah duhai hati. mungkin belum masa nya.

2 comments:

jatt said...

weh..aku nak join kelab jiwa luka parah ko..aku pon tgh parah ni..bape ahli dh ade?aku nk jd naib presiden..huhue..

Si Ralat (bukan nama sebenar) said...

huhuh. jadi mister presidente pun tak mengapa. aku nak jadi ahli nominal aja. sob sob.