Pengikut

Cari Makan Sikit

Sunday, February 1, 2009

Azam Bulan Kedua

Alhamdulillah, aku sudah kurang demam dan semakin sihat. cuma pening masih lagi menghantui benak kepala ketika malam menjelma. kadang-kadang masih lagi tidur bertemankan bam yang sedikit sebanyak dapat membantu aku untuk kembali menyambung tidur seperti sedia kala.

esok adalah hari pertama aku untuk pergi ke lab dan mempunyai punch card. aish, naik risau aku dibuatnya. berdasarkan pengalaman aku yang kurang mudah membuka mata sebelum mentari pagi muncul dan juga kerana kurang cergas pada waktu dinihari, maka aku sangat lah risau. lebih-lebih lagi apabila memikirkan elaun aku bergantung kepada tahap ketepatan aku datang melaporkan diri.

untuk pengetahuan kalian, aku tidak pernah memiliki punch card melainkan semasa menjalani latihan amali luar iaitu di sebuah pusat amalan kesihatan di negeri saudara mara aku. itu pun aku telah berjaya melambat-lambat kan tempoh pengaktifan punch card tersebut dengan melengah-lengahkan sesi pengenalan diri kepada penyelia luar aku ketika itu.

ye, aku sangat tidak gemarkan punch card pada ketika itu kerana ia boleh menjadi salah satu punca aku dan rakan pelatih lain dimalukan saban hari selain daripada sebab-sebab lain yang kurang munasabah dan tidak perlu aku terangkan di sini. hanya aku dan rakan pelatih berkaitan sahaja yang sama-sama berkongsi pengalaman pahit kami semasa menjalankan latihan amali yang penuh azab itu.

berbalik kepada isu punch card, aku dan rakan pelatih sebaliknya dibantu oleh seorang Si Pegawai Baik Hati yang akhirnya menjadi kawan baik kami dan beliau secara sukarela menolong kami dalam sindiket punch card sekiranya kami dihalau oleh ketua jabatan pusat kesihatan terbabit.

jadi sepanjang proses latiihan amali tersebut, aku dan rakan pelatih banyak bergantung kepada Si Pegawai Baik Hati tersebut sehingga kan Si Pegawai Baik Hati itu menjadi sasaran untuk bersoal jawab semasa penyelia dalaman aku datang untuk menilai prestasi pelajar di luar kampus.

oh, sebelum aku terlupa, Si Pegawai Baik Hati tersebut adalah senior aku yang juga dalam erti kata lain, penyelia dalaman yang datang tersebut adalah bekas pengajar beliau. maka sebab itu lah mereka lebih mesra berdasarkan tingkah laku Si Pegawai Baik Hati tersebut yang lebih kerap berjumpa dengan tenaga pengajar semasa hayat nya menjadi seorang pelajar. tidak seperti aku yang sangat kurang atau mungkin tidak pernah berjumpa dengan tenaga pengajar sepanjang tempoh pengajian atas sebab-sebab tertentu.

mungkin juga disebabkan aku kurang disoal siasat dan kemesraan antara mereka adalah sangat baik, maka aku mendapat lulus cemerlang dalam latihan amali aku walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan menyebabkan aku langsung tidak berharapkan keputusan yang baik pada ketika itu.

percaya atau tidak, aku hanya berdoa agar aku lulus sahaja kerana aku tidak yakin dengan markah yang diberikan oleh penyelia luar aku yang lebih memihak kepada ketua jabatan pusat kesihatan yang sangat tidak gemar akan pelatih amali.

ok, tutup buku, kisah lama.

apa yang aku nak cakap ialah aku kurang yakin pada kebolehan diri sendiri untuk memulakan langkah baru dalam hidup bermula esok pagi. oleh sebab itu, alang-alang [kalau] aku datang pagi, maka akan aku mulakan eksperimen baru pada pagi esok dengan menggunakan bahan kimia baru demi untuk mendapatkan keputusan yang baru dan harap-harap juga yang lebih baik.

jadi, esok semua yang berkaitan dengan aku adalah benda baru. aku harapkan aku berjaya jalankan niat aku ini bukan sahaja untuk esok hari tapi juga untuk hari-hari seterusnya. amin.

No comments: