Pengikut

Cari Makan Sikit

Thursday, January 22, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah

hari ini aku berasa sangat bangga pada diri sendiri biarpun aku lambat membuka mata [seperti biasa] dan menjadi orang terakhir keluar dari rumah sehingga kan dikunci dari luar, tetapi aku masih berusaha untuk mencemar duli ke kampus dan terus memberi senyuman paling manis kepada Si Cekgu kesayangan setelah berjaya menjejakkan kaki ke lab pada jam 1217. Si Cekgu juga tanpa membuang masa terus memperkenalkan aku kepada rakan-rakan taulan baru beliau sambil mengeluarkan kata-kata yang sangat menarik.

"ini student saya, Si Ralat [bukan nama sebenar]. kalau you all ada apa-apa nak tanya, sila tanya dia. dia ni expert dalam bidang ni".

aku cuba senyum sampai ke telinga sambil anggukkan kepala.

"student saya semua nya hardworking"

sambung Si Cekgu lagi dengan nada yang lebih sinis sambil senyum ala-ala primadona kesayangan Si Nenek. ah, aku disindir rupanya. nasib baik juga la aku sedang mengubah data untuk meeting esok sambil melabelkan sampel-sampel semalam. memang nampak macam aku sangat rajin sebab buat dua kerja dalam satu masa.

padahal, sebenarnya sampel itu dikeluarkan oleh rakan aku yang ingin menggunakan furnace di awal pagi tetapi sampel aku masih berada di dalam furnace dan aku masih berada di dalam bilik di rumah kesayangan. maka beliau dengan sukacita nya menawarkan diri untuk mengeluarkan sampel aku dan menyusun satu persatu dalam bekas. oh, aku terharu, terima kasih. walaupun aku tak pasti berapakah nilai darjah keikhlasan yang ditunjukkan dan adakah ia nya benar atau dusta?

oleh sebab beliau hanya mengeluarkan dan meletakkan di dalam bekas sahaja tanpa meninggalkan sebarang klu untuk aku susun mengikut susunan yang betul, maka aku terpaksa bertungkus lumus untuk melabelkan kesemua sampel aku mengikut lakaran kehidupan si rakan semalam dan juga dengan menggunakan firasat sendirian berhad yang agak kurang efisien. apa-apa pun, aku ingin mengucapkan tahniah kepada si rakan yang melakar dan terima kasih kepada si rakan yang membantu aku pagi tadi.

Si Cekgu sempat datang untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada aku sebelum beredar meninggalkan lab. aku berasa sangat lapang hari ini walaupun kerja belum siap, kerana semasa berada di dalam bas, aku telah menjadi seorang pelajar contoh apabila aku sempat menghubungi kesemua talian hayat untuk bertanyakan mengenai proses analisis sampel. walaupun sebenarnya kesemua talian hayat tidak dapat digunakan, tapi sekurang-kurang nya aku mencuba dan mempunyai alasan untuk berdepan dengan Si Cekgu.

maka apabila Si Cekgu bertanyakan perihal khabar Si Sampel, aku terus mengeluarkan ayat-ayat dengan penggunaan kata-kata yang sangat hebat dengan petah nya. terkedu Si Cekgu kerana beliau tidak lagi mempunyai point untuk mengugut dan menunjukkan 'marah kerna sayang' kepada aku. oleh itu, aku berani bertentang mata dengan beliau pada hari ini setelah sekian lama memendam rasa.

dan sebelum pulang ke pangkal jalan, bersaksi kan seorang foreigner, Si Cekgu telah menganugerahkan aku dengan sebiji limau mandarin kegemaran disebabkan oleh kepetahan diri ini.

terima kasih cekgu.

No comments: